• Laman Utama
  • English Version
  • Kembali ke BERNAMA.com
Carian

Pembangunan infrastruktur di kawasan pendalaman dapat mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat di dalam bandar dan di luar bandar
 

Shafie Harap Kolej Risda Dinaik Taraf Kolej Universiti Tahun Depan

ALOR GAJAH, 30 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) diharap dapat menaik taraf Kolej Risda kepada sebuah kolej universiti pada tahun depan iaitu setahun lebih awal daripada sasaran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Risda kini berusaha membangunkan aspek sumber manusia, mengemas kini kurikulum dan kemudahan infrastruktur bagi tujuan menaik taraf kolej tersebut.

"Pihak Kolej Risda akan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej Risda di Air Pa'abas di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata langkah menaik taraf itu adalah bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi khususnya dalam bidang pertanian.

Kolej Risda, yang diwujudkan pada 1999 adalah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), menawarkan diploma dan sijil dalam bidang pertanian, pengurusan perniagaan, pengurusan ladang, pengurusan lanskap, keusahawanan dan sains komputer.

Kolej Risda di Air Pa'abas, kini mempunyai 1,400 pelajar dengan sebahagian besarnya adalah anak-anak pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Turut hadir Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata pakatan parti-parti pembangkang yang belum mencapai persetujuan dalam pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada Pilihan raya Negeri Sarawak, menunjukkan mereka tidak boleh bersepakat.

Beliau berharap rakyat Sarawak tidak terpedaya dengan dakyah yang dibawa parti pembangkang iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), DAP, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan PAS, dalam meraih sokongan.

Katanya pembangkang terlalu banyak menabur janji yang gagal dilaksanakan sebagaimana yang berlaku di empat negeri yang mereka perintah iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

-- BERNAMA