• Laman Utama
  • English Version
  • Kembali ke BERNAMA.com
Carian

Pembangunan infrastruktur di kawasan pendalaman dapat mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat di dalam bandar dan di luar bandar
 

Kadar Bantuan Tanam Semula Getah Naik Antara RM2,230 Hingga RM4,000 Mulai Tahun Depan

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menaikkan kadar bantuan tanaman semula getah antara RM2,230 hingga RM4,000 bagi setiap hektar mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata di bawah pelarasan kadar itu, pekebun kecil di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan sebanyak RM9,230 bagi setiap hektar berbanding RM7,000 pada masa ini.

Pekebun kecil di Sarawak akan menerima RM13,500 manakala Sabah pula RM14,000, berbanding RM10,000 bagi setiap hektar di kedua-dua negeri itu pada masa ini, katanya.

"Ini merupakan beberapa galakan yang kita sediakan untuk memastikan pekebun kecil persendirian dan berkelompok ini akan dapat manfaat sekaligus dapat meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai cara-cara meningkatkan pendapatan pekebun kecil komoditi industri, di sini, pada Selasa.

Mohd Shafie berkata bantuan itu adalah termasuk kos kerja-kerja pembangunan tanah, benih, baja, racun dan kos prasarana asas pertanian termasuk kos membina jalan dalam ladang, jambatan, pembentungan, parit dan input tanaman kontan yang berkaitan.

Katanya Program Tanam Semula Getah itu akan dilaksanakan oleh RISDA bagi pekebun kecil persendirian dan berkelompok di Semenanjung dan pekebun kecil persendirian di Sabah dan Sarawak.

Mohd Shafie berkata Lembaga Industri Getah Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak akan melaksanakan program itu bagi pekebun kecil berkelompok di kedua-dua negeri itu.

Katanya kadar baru bantuan itu juga diguna pakai oleh agensi lain yang mengendalikan program itu termasuk Felcra.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata Karnival Usahawan Desa akan diadakan di Kompleks Sukan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, mulai Khamis hingga Ahad ini.

Katanya karnival, yang mempamerkan hasil keluaran penduduk luar bandar, itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA