• Laman Utama
  • English Version
  • Kembali ke BERNAMA.com
Carian

Pembangunan infrastruktur di kawasan pendalaman dapat mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat di dalam bandar dan di luar bandar
 

Kaum Lundayeh Mengharap Sinar RMK10

Masyarakat Lundayeh Harap Sinar RMK10. Foto: Rayner MajantimSIPITANG, 14 Jun (Bernama) -- Kaum Lundayeh, iaitu antara kaum minoriti di Sabah turut menyandar harapan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lalu.

Mereka mengharapkan akan berlaku anjakan paradigma terhadap persekitaran pembangunan, pendidikan dan sosioekonomi mereka.

"Kebanyakan masyarakat Lundayeh berada di pedalaman dan kawasan berhampiran sempadan. Ada tempat yang sukar untuk sampai kerana jalan raya yang tidak bagus atau terdapat jalan yang langsung tidak boleh dilalui oleh apa jenis kenderaan sekalipun.

"Oleh itu kami berharap RMK10 benar-benar dapat dilaksanakan hingga sampai sasarannya kepada kami. Ini kerana RMK10 dilihat tidak mahu masyarakat minoriti seperti kami ketinggalan dari arus pembangunan negara," kata Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, Pengiran Lalung kepada Bernama.

Masyarakat Lundayeh yang jumlahnya kurang daripada 10,000 orang berbesar hati dengan kerajaan yang mahu melibatkan kepelbagaian etnik dalam pelaksanaan RMK10.

Bagaimanapun mereka mengharap pelaksanaan RMK10 akan seiring dengan kehendak rakyat agar tercapai matlamat pembangunan yang diharapkan oleh kerajaan.

"Namun kami berharap kerajaan dapat bersabar dan tidak putus asa mencari jalan untuk meyakinkan masyarakat di kampung terpencil seperti kami kerana pemahaman kami terhadap sesuatu yang baru, tidak sama dengan pemahaman orang di bandar.

"Orang pedalaman seperti kami sebenarnya bukan enggan menerima bantuan, tetapi kemungkinan terdapat halangan yang menyukarkan kerajaan untuk membantu meningkatkan kehidupan sosioekonomi kami," kata Lalung.

Beliau berkata RMK10 yang dilihat turut menjunjung konsep 1Malaysia diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan kaum Lundayeh dengan masyarakat lain.

"Bagi sebuah komuniti yang jumlah penduduknya sedikit, usaha untuk menyesuaikan diri dengan komuntiti lain biasanya sukar dilaksanakan.

"Namun bila ada pula konsep 1Malaysia, ia akan menguatkan lagi hubungan kami dengan masyarakat luar," kata Lalung.

-- BERNAMA