• Laman Utama
  • English Version
  • Kembali ke BERNAMA.com
Carian

Pembangunan infrastruktur di kawasan pendalaman dapat mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat di dalam bandar dan di luar bandar
 

Risda Cadang Bantuan Tanam Semula Getah Dinaik RM10,000

PASIR PUTEH, 14 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (Risda) bercadang akan menaikkan kadar bantuan tanaman semula getah tua daripada RM7,000 kepada RM10,000 bagi setiap hektar tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohd Zuki Wan Mohamad berkata bantuan tanaman semula sekarang sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar sudah tidak mencukupi berasaskan kos pengendalian semakin meningkat.

"Ini termasuk bahan-bahan import, upah tenggala, benih dan racun," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Penerangan Pembasmian Kemiskinan dan Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram di sini, pada Ahad.

Wan Mohd berkata pihaknya akan memohon peruntukan daripada kerajaan dan yakin akan mendapat kelulusan memandangkan kerajaan sekarang sangat prihatin untuk membantu rakyat terutama pekebun kecil di luar bandar.

Katanya tahun ini Risda memperuntukkan RM300 juta untuk pelbagai kegiatan termasuk program tanaman semula getah di seluruh negara daripada jumlah itu RM45 juta diluluskan untuk negeri Kelantan.

"Sehingga ini RM35 juta daripada jumlah itu (Kelantan) sudah dibelanjakan," katanya.

Katanya kenaikan harga getah sekarang yang melambung tinggi sehingga mencecah RM5 hingga RM6 bagi setiap satu kilo (belian di luar bandar) akan mendorong generasi muda sekarang yang suka berhijrah ke bandar mencari pekerjaan pulang ke kampung menoreh getah.

Katanya berasaskan harga sekarang bagi mereka yang memiliki dua hektar kebun getah mereka mampu menghasilkan pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan iaitu satu pencapaian yang cukup lumayan.

-- BERNAMA